PENGURUSAN BENCANA ALAM DI MALAYSIA MENURUT CARA ISLAM
Sunday, 28 February 2016
Sikap yang seharusnya menjadi amalan para anggota masyarakat apabila ditempatkan di pusat-pusat penempatan sementara ketika bencana berlangsung
MENJAGA AKIDAH.
- Ramai
dari kalangan kita yang apabila ditimpa musibah banjir bertindak seperti
tidak beragama. Ada yang mencela nasib, memaki hamun pada hujan dan banjir
seolah-olah mempertikai perkara yang telah ditetapkan kepada kita diatas
kekuasaan Allah SWT. Sebagai seorang Muslim beriman dan percaya pada Qada'
dan Qadar, haruslah meyakini bahawa setiap perkara yang terjadi pada kita
sama ada baik atau buruk, suka atau duka, kesenangan atau kesusahan,
semuanya adalah ketentuan Allah SWT. Segala yang terjadi adalah ujian
untuk melihat sejauh mana keimanan dan kesabaran kita. Allah SWT berfirman
dalam Surah Al-Baqarah ayat 155-156 yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit
perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan
berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan
berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang
apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami
kembali."
- Oleh
itu, dalam menghadapi musibah banjir, kita hendaklah bersabar,
meningkatkan amalan dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan.
MENJAGA SOLAT
- Kebanyakan
antara kita sering memberi alasan untuk tidak menunaikan solat atau
melengah-lengahkan solat. Islam telah mengajar kita agar menunaikan solat
dalam keadaan apa sekalipun meskipun dalam keadaan sakit dan peperangan.
MENJAGA AURAT
- Ramai
juga antara kita yang mengambil mudah tentang aurat dalam menghadapi banjir.
Sebagai contoh, air banjir setinggi betis, tetapi angkat seluar atau kain
sampai nampak peha dan aurat terutamanya golongan wanita. Kepada mangsa
banjir yang menetap di pusat-pusat pemindahan, rumah saudara mara, surau
ataupun masjid, aurat dan adab-adab tertentu dalam berpakaian dan
perhubungan harian hendaklah dijaga.
MEMBANTU DAN SALING TOLONG-MENOLONG
- Allah
SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan
dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan”.
- Bantu
membantu sesama insan dan makhluk lain merupakan amalan mulia yang sangat
dianjurkan dalam Islam. Dalam meringankan kesusahan mangsa banjir, kita
perlu saling tolong-menolong membantu yang termampu dengan memberikan
bantuan makanan, pakaian, tempat tinggal, tenaga sukarelawan, bantuan
pembersihan dan sebagainya. Selain itu, bagi penghuni pusat pemindahan
pula, ringan-ringankan tangan membantu sukarelawan yang datang membantu,
memberikan kerjasama yang sewajarnya kerana kehadiran mereka adalah bagi
tujuan membantu dan bergotong-royong bersama-sama dalam aktiviti.
TIDAK MENGAMBIL KESEMPATAN
- Ada
juga di kalangan kita yang suka mengambil kesempatan. Sudahlah tidak mahu
menolong dan menghulurkan bantuan, sanggup pula mengambil kesempatan atas
kesusahan orang lain. Ada yang sanggup mencuri barangan mangsa banjir di
pusat pemindahan, memecah masuk rumah-rumah ataupun kedai-kedai dan
mengambil barang-barang yang ditinggalkan mangsa banjir. Golongan peniaga
pula ada yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang atau
mengenakan caj perkhidmatan yang melampau dan tidak munasabah.
MENGUTAMAKAN KEBERSIHAN DAN KESIHATAN
- Semasa
di pusat pemindahan kita perlu menjaga kesihatan dengan sewajarnya.
Pastikan minum air yang telah dimasak, makan makanan yang dimasak, elakkan
memakan makanan mentah seperti sayur-sayuran yang belum dimasak dan
ulam-ulaman, tudung semua makanan dan jangan makan makanan yang terdedah,
jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling, basuh tangan sebelum makan
dan selepas ke tandas, guna tandas yang sempurna, buang sampah di tempat
yang betul dan dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doctor.
Tindakan yang sewajarnya dipraktikan oleh masyarakat dalam menghadapi bencana banjir?
PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR
Dapatkan maklumat berkaitan banjir di kawasan kediaman.
Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan
melalui radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta tahu
dimana Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran termasuk
Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana. Periksa lubang air seperi longkang
atau saluran najis, bersihkan halangan dan pastikan tertutup rapat supaya air
banjir tidak masuk. Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan
secukupnya. Pastikan seluruh ahli keluarga mengetahui cara-cara bertindak
semasa kecemasan di rumah. Dalam musim hujan, pastikan telefon bimbit dalam
keadaan baik dan bateri simpanan dicas secukupnya. Pindahkan perabut atau
peralatan-peralatan lain yang mampu diselamatkan ke tempat yang selamat jika
perlu dan letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama
dalam bekas kalis air. Selain itu, tempatkan haiwan peliharaan di tempat
selamat kerana haiwan tidak dbenarkan untuk dibawa ke pusat pemindahan atas
sebab kebersihan dan kesihatan yang mana ramai terlepas pandang. Bukan hanya
manusia tetapi haiwan peliharaan juga terjejas akibat bencana seperti banjir.
TINDAKAN KETIKA BANJIR
Jika banjir berlaku ketika di rumah, dengar pengumuman
melalui radio, televisyen atau pihak tertentu dan bersedia dengan peralatan
kecemasan untuk berpindah. Sebelum berpindah tutup semua suis bekalan elektrik
dan air bersih di rumah. Apabila menerima arahan berpindah, segeralah berpindah
ke pusat-pusat pemindahan yang telah disediakan. Sebaiknya berpindah awal
sebelum banjir meningkat atau berpindah pada waktu siang kerana ianya lebih
mudah dan selamat. Ikut laluan yang betul atau yang telah ditentukan, laluan
singkat mungkin terhalang atau berbahaya seperti adanya longkang atau parit
terbuka yang ditenggelami air.
Jika banjir terjadi ketika masih dalam kenderaan, jangan
terus mengharungi kawasan banjir, seeloknya berpatah balik ke tempat yang
selamat dan jika kenderaan terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan
tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat.
Jika banjir berlaku ketika berada di luar rumah sebaiknya
pergi ke tempat tinggi dan selamat. Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus
deras yang boleh menghanyutkan. Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir
sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki. Jangan sentuh mana-mana kabel
atau wayar yang jatuh. Awasi anak-anak, jangan biarkan bermain di longkang,
sungai atau lombong dan elakkan dari terminum air banjir.
TINDAKAN SELEPAS
BANJIR
Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak
yang berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan
benar-benar selamat. Beri bantuan kepada jiran atau orang kurang upaya (orang
tua, kanak-kanak atau golongan istimewa). Periksa luaran rumah, lihat
tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat. Jangan
terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air, amalkan sikap berhati-hati
kerana banyak bahaya yang tersembunyi. Semasa memasuki rumah pakai kasut,
periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu, tingkap, siling dan plaster dinding
yang mungkin rekah, lerai dan jatuh dan sebarang kehadiran binatang atau
serangga berbisa Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang
bertaburan di lantai rumah.
Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor,
wayar elektrik dan peralatan elektrik yang terendam di dalam air. Periksa
kehadiran bahan-bahan mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir
(Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya) tanpa disedari. Buang semua
bahan-bahan makanan yang terendam terkena banjir termasuklah makanan tin dan
paket. Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa
dan buat laporan kepada JKM bagi mangsa yang tidak berpindah ke pusat
pemindahan.
Tindakan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha memperkasakan pengurusan bencana negara?
Mengimbau kembali sejarah, Jemaah Menteri pada 18 Mei 1994
memutuskan mewujudkan satu mekanisme
pengurusan dan tindak balas Bencana dan pengurusannya diletakkan di bawah
Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) susulan daripada
tragedi runtuhan Pangsapuri Highland Towers di Hulu Langat, Selangor pada 11
Disember 1993. Hasilnya, MKN telah mengeluarkan Arahan mengenai Dasar dan
Mekanisme Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara pada 11 Mei 1997 dan mewujudkan
Bahagian Pengurusan Bencana di bawah MKN dan arahan ini telah disemak pada
tahun 2012.
Bermula tahun 2015, berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim, peranan MKN akan lebih menumpukan
kepada soal keselamatan negara, manakala bagi tujuan pengurusan bencana, sebuah
agensi baharu iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) Jabatan Perdana
Menteri (JPM) ditubuhkan bagi menyelaras
dan mengurus bantuan bencana dengan lebih teratur dan efektif.
Oleh itu, dalam memperkasakan pengurusan bencana negara,
peranan yang dimainkan oleh MKN telah diambil alih oleh Agensi Pengurusan
Bencana Negara (APBN). Agensi baru ini juga akan terus mengunapakai Arahan 20
MKN semakan 2012. Selain itu, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dari
Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga dipindahkan ke ABPN. Agensi-agensi lain
yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana seperti Pasukan Mencari
dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia
(ATM), dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) akan terus terlibat dalam
rangkaian tugas
Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana
Negara (Semakan 2012) akan terus digunapakai kerana masih bersesuaian dengan
keadaan semasa dan telah menggariskan mekanisme pengurusan Bencana yang
menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan tindakan pemulihan selepas
bencana berlaku.
Setiap agensi yang terlibat, bertanggungjawab melaksanakan
peranan masing-masing selaras dengan Arahan ini serta peruntukan-peruntukan
yang disebut di dalam Peraturan Tetap Operasi (PTO) pengendalian Bencana yang
disediakan dari semasa ke semasa. Dengan adanya Arahan ini, Bencana dapat
diurus dengan bersepadu, efektif dan terselaras serta dapat mengelak berlakunya
sebarang pembaziran sumber, kekeliruan arahan, konflik tanggungjawab serta
percanggahan atau pertindihan peranan semasa menangani suatu kejadian Bencana.
Monday, 22 February 2016
Bantuan dan sumbangan kepada mangsa bencana alam
Rantau Asia Tenggara merupakan
kawasan yang tidak sunyi daripada kejadian bencana alam yang besar.
Bencana alam seperti gempa bumi, kebakaran hutan, tsunami dan ribut
taufan serta letupan gunung berapi menjadi sesuatu yang biasa pula di
rantau ini terutama di Indonesia, Filipina dan Vietnam. Kekerapan
kejadian ini menyebabkan banyak nyawa melayang dan tidak kurang juga
kemusnahan harga benda berlaku dengan tinggi. Oleh itu, sebagai sebuah
negara jiran yang bertanggungjawab, Malaysia telah banyak menghulurkan
pelbagai sumbangan bantuan yang mampu untuk meringankan bebanan yang
ditanggung oleh negara jiran itu.
Sumbangan yang paling mudah dan
efektif ialah bantuan kewangan terutama dalam memenuhi keperluan asas
seperti makanan dan minuman. Malaysia sudah beberapa kali menghulurkan
bantuan kewangan baik dalam bentuk pinjaman mahupun wang tunai ke
Indonesia dan Filipina ketika negara itu dilanda bencana alam. Bantuan
ini berupaya memudahkan rakyat kedua-dua negara itu untuk meneruskan
kehidupan setelah kehilangan rumah dan pekerjaan mereka akibat kejadian
fenomena alam itu. Justeru, bantuan kewangan menjadi bantuan yang paling
penting dihulurkan oleh Malaysia kepada negara jirannya yang mengalami
bencana alam.
Selain itu, negara kita juga ada
menghantar pakar-pakar yang boleh membuat penilaian dan memberikan idea
untuk membangunkan semula kawasan yang dilanda bencana alam itu.
Kejadian gempa bumi dan tsunami mampu memusnahkan kawasan rumah dan
bangunan yang memerlukan kemahiran pakar-pakar untuk membinanya semula
dengan segera. Kehadiran pakar-pakar ini juga memberikan suntikan
keyakinan kepada mangsa-mangsa bencana alam itu untuk membina semula
rumah mereka yang sudah tiada tersebut. Lantaran itu, penghantaran
pakar-pakar ke negara yang dilanda bencana berupaya memastikan proses
pembangunan semula berjalan lancar.
Pada masa yang sama bekalan
perubatan juga menjadi sumbangan penting dari Malaysia ke negara jiran
yang dilanda bencana alam itu. Banyak pertubuhan sukarela negara ini
yang menghantar pasukan perubatan mereka dengan segera ke tempat bencana
alam untuk memastikan tahap kesihatan di sana terjamin untuk memastikan
penularan wabak penyakit seperti taun dan demam tidak berlaku pula.
Mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan juga boleh dirawat oleh pasukan
perubatan yang dihantar oleh pertubuhan bukan kerajaan itu. Jelaslah,
sumbangan dalam bentuk perubatan memberikan satu harapan baru kepada
negara-negara jiran kita yang dilanda musibah alam itu.
Malah, Malaysia juga membuat
kerjasama yang lebih luas dengan bersetuju untuk membuat pengawasan dan
memperkenalkan dasar-dasar mencegah bencana alam. Kejadian tsunami
beberapa tahun lalu telah menyebabkan Malaysia dan negara-negara jiran
memasang sistem pengesan amaran awal tsunami di kawasan perairan
masing-masing yang kemudiannya boleh dikongsi maklumat itu ke seluruh
negara pula. Konsep kerjasama sebegini memastikan sebarang kejadian
tsunami atau gempa bumi bawah laut boleh diketahui dengan lebih cepat
dan teratur oleh negara-negara di rantau ini lalu mengurangkan risiko
kematian pula. Maka, negara kita telah memberikan kerjasama yang jitu
dan jujur dalam usaha untuk menangani kejadian bencana alam ini.
Konklusinya, semua sumbangan yang
diberikan oleh negara itu telah dilakukan, sedang dan akan terus
dilaksanakan pada masa hadapan. Sikap sebeginilah yang telah menyebabkan
imej negara terus dihormati oleh negara-negara jiran kerana sanggup
berkorban demi kebajikan rakyat negara lain. Walaupun Malaysia jarang
dilanda bencana alam yang mengorbankan ribuan rakyatnya tetapi kita
menyedari kesengsaraan yang dialami itu. Semoga sikap positif sebegini
akan berterusan selama-lamanya.
RUJUKAN - http://noorazmanmahat.blogspot.my/2013/02/karangan-spm-2013bantuan-dan-sumbangan.html
BANTUAN YANG PATUT DIBERIKAN KEPADA MANGSA BENCANA ALAM
Bencana
alam sering mengancam nyawa dan kesejahteraan hidup manusia sejak
kebelakangan ini. Fenomena bencana alam adalah seperti tsunami, gempa
bumi, ribut salji dan banjir. Banyak nyawa telah terkorban serta harta
benda telah musnah. Mangsa-mangsa pula hidup dalam penderitaan. Oleh
itu, bantuan haruslah diberikan kepada mangsa-mangsa bagi mengurangkan
penderitaan mereka. Apakah bentuk bantuan yang boleh diberi kepada
mangsa-mangsa bencana alam? Marilah kita lihat bersama-sama.
Pihak
kerajaan mahupun swasta perlu bekerjasama untuk menyediakan bantuan
peralatan keselamatan. Contoh peralatan keselamatan yang boleh
disediakan ialah jentera berat dan alat teknologi moden. Di samping itu,
peralatan keselamatan tersebut perlu disediakan dalam masa yang paling
singkat. Tujuan peralatan keselamatan tersebut disediakan supaya proses
pencarian mangsa lebih senang dijalankan terutamanya bagi mangsa bencana
alam gempa bumi dan mangsa runtuhan tanah lumpur. Dengan adanya jentera
berat dan peralatan teknologi yang moden, mangsa-mangsa yang masih
hidup atau yang tercedera dapat diselamatkan dalam masa yang paling
singkat. Oleh itu, satu daripada bantuan yang boleh diberikan kepada
mangsa-mangsa bencana alam adalah dengan menyediakan bantuan peralatan
keselamatan.
Selain
itu, bantuan perubatan juga perlu disalurkan dengan segera bagi
membantu mangsa yang cedera. Bantuan perubatan ini boleh disalurkan dari
seluruh dunia. Doktor, jururawat dan pegawai perubatan perlu
ditempatkan di tempat yang berlaku bencana alam dalam tempoh yang paling
singkat. Malahan, ubat-ubatan dan vaksin untuk kegunaan mangsa kejadian
juga perlu disalurkan dengan secukupnya supaya mangsa-mangsa yang
cedera dapat dirawat dengan sempurna. Sebagai contohnya, semasa bencana
gempa bumi berlaku di Si Chuan, China, bantuan perubatan telah
disalurkan dari negara-negara maju supaya dapat membantu dan merawat
mangsa bencana alam. Pendek kata, semasa berlakunya bencana alam,
seluruh dunia boleh menyalurkan bantuan perubatan bagi negara yang
mengalami bencana alam untuk meringankan penderitaan mangsa-mangsa di
tempat tersebut.
Bantuan
kepakaran dalam pelbagai bidang harus disediakan untuk membangunkan
semula kawasan kejadian. Contoh kepakaran dalam bidang pembinaan dan
kepakaran dalam bidang psikologi. Bagi pakar-pakar bidang pembinaan,
mereka boleh menggunakan kepakaran mereka untuk membangunkan semula
kawasan kejadian yang musnah teruk. Kerosakan yang berlaku juga boleh
dibaikpulihkan dengan senang dan cepat. Jadi, mangsa-mangsa boleh
menjalankan kehidupan mereka seperti biasa dengan lebih cepat. Pakar
psikologi juga amat diperlukan bagi mangsa-mangsa bencana alam. Hal ini
disebabkan banyak mangsa akan mengalami gangguan emosi selepas kejadian
bencana alam yang dahsyat. Contohnya, mereka mungkin tidak dapat tidur,
bermimpi ngeri, dan trauma. Pakar-pakar psikologi boleh menolong mereka
supaya mereka boleh mengatasi masalah emosi tersebut dengan cara yang
betul. Jadi, bantuan kepakaran dalam pelbagai bidang harus disediakan
supaya mereka boleh membantu mangsa-mangsa yang memerlukan bantuan.
Di
samping itu, masyarakat perlu bersama-sama menghulurkan bantuan
kemanusiaan kepada mangsa yang terlibat. Mereka boleh pergi ke tempat
tersebut untuk membantu mangsa-mangsa menyedia atau memasang khemah.
Bagi mereka yang tidak dapat sampai ke tempat tersebut, mereka juga
boleh menderma makanan, minuman, pakaian, selimut dan lain-lain bagi
mangsa-mangsa kejadian. Selain itu, masyarakat juga boleh memberi
nasihat dan semangat untuk menenangkan perasaan mangsa. Jadi, Masyarakat
harus tidak mementingkan diri sendiri sahaja, sebaliknya kita semua
harus memberikan bantuan dengan upaya diri sendiri bagi mangsa-mangsa
kejadian.
Akhir
sekali, bantuan kewangan daripada kerajaan amat diperlukan untuk
membangunkan semula penempatan yang musnah semasa kejadian. Kerajaan
perlu memperuntukkan bantuan kewangan untuk pembangunan jangka panjang.
Selain itu, kerajaan juga perlu memperuntukkan kewangan untuk pembinaan
semula penempatan yang musnah dilanda bencana. Kerajaan harus
mementingkan perkara tersebut berbanding dengan perkara yang lain.
Tindakan kerajaan tersebut akan memberi keyakinan kepada rakyatnya
kerana mereka tahu bahawa tempat mereka dapat dibaikpulihkan dengan
secepat mungkin. Jadi, bantuan kewangan daripada kerajaan amat
diperlukan untuk membangunkan semula penempatan yang musnah.
Berdasarkan
huraian yang telah diberikan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kita
yang merupakan penghuni bumi ini juga haruslah saling membantu dan
menghulurkan bantuan kepada mereka mengikut upaya diri sendiri. Kita
berharap agar rakyat tidak terlalu mementingkan diri sendiri atau
bersikap materialistik sahaja kerana mangsa-mangsa bencana alam juga
merupakan sebahagian penghuni di bumi ini. Oleh itu, segala bantuan yang
dibincangkan di atas harus disalurkan kepada mangsa kejadian supaya
penderitaan mereka boleh diringankan.
RUJUKAN - http://farihinzul1974.blogspot.my/2010/10/bantuan-yang-patut-diberikan-kepada.html
RUJUKAN - http://farihinzul1974.blogspot.my/2010/10/bantuan-yang-patut-diberikan-kepada.html
Subscribe to:
Posts (Atom)