Mengimbau kembali sejarah, Jemaah Menteri pada 18 Mei 1994
memutuskan mewujudkan satu mekanisme
pengurusan dan tindak balas Bencana dan pengurusannya diletakkan di bawah
Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) susulan daripada
tragedi runtuhan Pangsapuri Highland Towers di Hulu Langat, Selangor pada 11
Disember 1993. Hasilnya, MKN telah mengeluarkan Arahan mengenai Dasar dan
Mekanisme Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara pada 11 Mei 1997 dan mewujudkan
Bahagian Pengurusan Bencana di bawah MKN dan arahan ini telah disemak pada
tahun 2012.
Bermula tahun 2015, berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim, peranan MKN akan lebih menumpukan
kepada soal keselamatan negara, manakala bagi tujuan pengurusan bencana, sebuah
agensi baharu iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) Jabatan Perdana
Menteri (JPM) ditubuhkan bagi menyelaras
dan mengurus bantuan bencana dengan lebih teratur dan efektif.
Oleh itu, dalam memperkasakan pengurusan bencana negara,
peranan yang dimainkan oleh MKN telah diambil alih oleh Agensi Pengurusan
Bencana Negara (APBN). Agensi baru ini juga akan terus mengunapakai Arahan 20
MKN semakan 2012. Selain itu, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dari
Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga dipindahkan ke ABPN. Agensi-agensi lain
yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana seperti Pasukan Mencari
dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia
(ATM), dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) akan terus terlibat dalam
rangkaian tugas
Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana
Negara (Semakan 2012) akan terus digunapakai kerana masih bersesuaian dengan
keadaan semasa dan telah menggariskan mekanisme pengurusan Bencana yang
menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan tindakan pemulihan selepas
bencana berlaku.
Setiap agensi yang terlibat, bertanggungjawab melaksanakan
peranan masing-masing selaras dengan Arahan ini serta peruntukan-peruntukan
yang disebut di dalam Peraturan Tetap Operasi (PTO) pengendalian Bencana yang
disediakan dari semasa ke semasa. Dengan adanya Arahan ini, Bencana dapat
diurus dengan bersepadu, efektif dan terselaras serta dapat mengelak berlakunya
sebarang pembaziran sumber, kekeliruan arahan, konflik tanggungjawab serta
percanggahan atau pertindihan peranan semasa menangani suatu kejadian Bencana.
No comments:
Post a Comment