PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR
Dapatkan maklumat berkaitan banjir di kawasan kediaman.
Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan
melalui radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta tahu
dimana Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran termasuk
Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana. Periksa lubang air seperi longkang
atau saluran najis, bersihkan halangan dan pastikan tertutup rapat supaya air
banjir tidak masuk. Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan
secukupnya. Pastikan seluruh ahli keluarga mengetahui cara-cara bertindak
semasa kecemasan di rumah. Dalam musim hujan, pastikan telefon bimbit dalam
keadaan baik dan bateri simpanan dicas secukupnya. Pindahkan perabut atau
peralatan-peralatan lain yang mampu diselamatkan ke tempat yang selamat jika
perlu dan letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama
dalam bekas kalis air. Selain itu, tempatkan haiwan peliharaan di tempat
selamat kerana haiwan tidak dbenarkan untuk dibawa ke pusat pemindahan atas
sebab kebersihan dan kesihatan yang mana ramai terlepas pandang. Bukan hanya
manusia tetapi haiwan peliharaan juga terjejas akibat bencana seperti banjir.
TINDAKAN KETIKA BANJIR
Jika banjir berlaku ketika di rumah, dengar pengumuman
melalui radio, televisyen atau pihak tertentu dan bersedia dengan peralatan
kecemasan untuk berpindah. Sebelum berpindah tutup semua suis bekalan elektrik
dan air bersih di rumah. Apabila menerima arahan berpindah, segeralah berpindah
ke pusat-pusat pemindahan yang telah disediakan. Sebaiknya berpindah awal
sebelum banjir meningkat atau berpindah pada waktu siang kerana ianya lebih
mudah dan selamat. Ikut laluan yang betul atau yang telah ditentukan, laluan
singkat mungkin terhalang atau berbahaya seperti adanya longkang atau parit
terbuka yang ditenggelami air.
Jika banjir terjadi ketika masih dalam kenderaan, jangan
terus mengharungi kawasan banjir, seeloknya berpatah balik ke tempat yang
selamat dan jika kenderaan terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan
tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat.
Jika banjir berlaku ketika berada di luar rumah sebaiknya
pergi ke tempat tinggi dan selamat. Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus
deras yang boleh menghanyutkan. Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir
sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki. Jangan sentuh mana-mana kabel
atau wayar yang jatuh. Awasi anak-anak, jangan biarkan bermain di longkang,
sungai atau lombong dan elakkan dari terminum air banjir.
TINDAKAN SELEPAS
BANJIR
Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak
yang berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan
benar-benar selamat. Beri bantuan kepada jiran atau orang kurang upaya (orang
tua, kanak-kanak atau golongan istimewa). Periksa luaran rumah, lihat
tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat. Jangan
terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air, amalkan sikap berhati-hati
kerana banyak bahaya yang tersembunyi. Semasa memasuki rumah pakai kasut,
periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu, tingkap, siling dan plaster dinding
yang mungkin rekah, lerai dan jatuh dan sebarang kehadiran binatang atau
serangga berbisa Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang
bertaburan di lantai rumah.
Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor,
wayar elektrik dan peralatan elektrik yang terendam di dalam air. Periksa
kehadiran bahan-bahan mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir
(Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya) tanpa disedari. Buang semua
bahan-bahan makanan yang terendam terkena banjir termasuklah makanan tin dan
paket. Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa
dan buat laporan kepada JKM bagi mangsa yang tidak berpindah ke pusat
pemindahan.
No comments:
Post a Comment