Rantau Asia Tenggara merupakan
kawasan yang tidak sunyi daripada kejadian bencana alam yang besar.
Bencana alam seperti gempa bumi, kebakaran hutan, tsunami dan ribut
taufan serta letupan gunung berapi menjadi sesuatu yang biasa pula di
rantau ini terutama di Indonesia, Filipina dan Vietnam. Kekerapan
kejadian ini menyebabkan banyak nyawa melayang dan tidak kurang juga
kemusnahan harga benda berlaku dengan tinggi. Oleh itu, sebagai sebuah
negara jiran yang bertanggungjawab, Malaysia telah banyak menghulurkan
pelbagai sumbangan bantuan yang mampu untuk meringankan bebanan yang
ditanggung oleh negara jiran itu.
Sumbangan yang paling mudah dan
efektif ialah bantuan kewangan terutama dalam memenuhi keperluan asas
seperti makanan dan minuman. Malaysia sudah beberapa kali menghulurkan
bantuan kewangan baik dalam bentuk pinjaman mahupun wang tunai ke
Indonesia dan Filipina ketika negara itu dilanda bencana alam. Bantuan
ini berupaya memudahkan rakyat kedua-dua negara itu untuk meneruskan
kehidupan setelah kehilangan rumah dan pekerjaan mereka akibat kejadian
fenomena alam itu. Justeru, bantuan kewangan menjadi bantuan yang paling
penting dihulurkan oleh Malaysia kepada negara jirannya yang mengalami
bencana alam.
Selain itu, negara kita juga ada
menghantar pakar-pakar yang boleh membuat penilaian dan memberikan idea
untuk membangunkan semula kawasan yang dilanda bencana alam itu.
Kejadian gempa bumi dan tsunami mampu memusnahkan kawasan rumah dan
bangunan yang memerlukan kemahiran pakar-pakar untuk membinanya semula
dengan segera. Kehadiran pakar-pakar ini juga memberikan suntikan
keyakinan kepada mangsa-mangsa bencana alam itu untuk membina semula
rumah mereka yang sudah tiada tersebut. Lantaran itu, penghantaran
pakar-pakar ke negara yang dilanda bencana berupaya memastikan proses
pembangunan semula berjalan lancar.
Pada masa yang sama bekalan
perubatan juga menjadi sumbangan penting dari Malaysia ke negara jiran
yang dilanda bencana alam itu. Banyak pertubuhan sukarela negara ini
yang menghantar pasukan perubatan mereka dengan segera ke tempat bencana
alam untuk memastikan tahap kesihatan di sana terjamin untuk memastikan
penularan wabak penyakit seperti taun dan demam tidak berlaku pula.
Mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan juga boleh dirawat oleh pasukan
perubatan yang dihantar oleh pertubuhan bukan kerajaan itu. Jelaslah,
sumbangan dalam bentuk perubatan memberikan satu harapan baru kepada
negara-negara jiran kita yang dilanda musibah alam itu.
Malah, Malaysia juga membuat
kerjasama yang lebih luas dengan bersetuju untuk membuat pengawasan dan
memperkenalkan dasar-dasar mencegah bencana alam. Kejadian tsunami
beberapa tahun lalu telah menyebabkan Malaysia dan negara-negara jiran
memasang sistem pengesan amaran awal tsunami di kawasan perairan
masing-masing yang kemudiannya boleh dikongsi maklumat itu ke seluruh
negara pula. Konsep kerjasama sebegini memastikan sebarang kejadian
tsunami atau gempa bumi bawah laut boleh diketahui dengan lebih cepat
dan teratur oleh negara-negara di rantau ini lalu mengurangkan risiko
kematian pula. Maka, negara kita telah memberikan kerjasama yang jitu
dan jujur dalam usaha untuk menangani kejadian bencana alam ini.
Konklusinya, semua sumbangan yang
diberikan oleh negara itu telah dilakukan, sedang dan akan terus
dilaksanakan pada masa hadapan. Sikap sebeginilah yang telah menyebabkan
imej negara terus dihormati oleh negara-negara jiran kerana sanggup
berkorban demi kebajikan rakyat negara lain. Walaupun Malaysia jarang
dilanda bencana alam yang mengorbankan ribuan rakyatnya tetapi kita
menyedari kesengsaraan yang dialami itu. Semoga sikap positif sebegini
akan berterusan selama-lamanya.
RUJUKAN - http://noorazmanmahat.blogspot.my/2013/02/karangan-spm-2013bantuan-dan-sumbangan.html
No comments:
Post a Comment